Sabtu, 5 Julai 2014

CARA DAPAT HOTEL MURAH ATAU PENGINAPAN MURAH SEMASA MELANCONG ATAU BACKPACK

KOS BAJET

1. Gunakan Laman Web Dengan Bijak

Jika anda mahukan harga bilik hotel murah sewaktu bercuti, jangan terus berjalan masuk ke hotel. Tapi tempahlah bilik terlebih dahulu.

Mulakan pencarian bilik hotel murah anda dengan pergi ke laman perbandingan harga hotel seperti Wego. Di sini, buat senarai pendek hotel-hotel yang sesuai dengan bajet anda.

Kemudian pergi ke laman web rasmi hotel tersebut dan cari bilik pada tarikh yang sama. Pihak hotel selalunya lebih suka anda menempah melalui laman mereka, jadi kadangkala anda bukan sahaja mendapat bilik lebih murah tetapi juga sarapan percuma dan lain-lain kemudahan yang tidak diberi oleh laman pihak ketiga. Jika tawarannya lebih baik, buat booking terus di laman hotel.

Jika anda malas memilih, gunakan saja Agoda untuk menempah bilik di Asia manakala TravelPony serta Tingo untuk destinasi lain di dunia.

Tetapi elakkan Booking.com dan Hotelscombined.com kerana kadar mereka tidaklah semurah yang diiklankan.

2. Tidur Saja di Hostel

hostel monkeys di london
                                         
Ya, hostel kerapkali dikaitkan dengan penginapan kotor. Tetapi sterotaip ini semakin tidak relevan dengan hostel-hostel moden.

Anda mungkin rasa takut tidur bercampur dengan orang tak dikenali. Tapi jangan gusar. Apa yang kurang diketahui ramai ialah ada banyak hostel yang menawarkan bilik-bilik persendirian untuk pelancong yang datang berdua atau golongan berkeluarga pada harga yang jauh lebih rendah dari hotel. Hostel juga kebanyakannya hampir dengan tempat tarikan pelancongan dan dekat dengan pengangkutan awam.

Bilik persendirian di hostel Bandung yang ditempah melalui HostelWorld contohnya berharga hanya RM 14.13. Harga penginapan sebegini murah bermakna anda boleh melancong lebih lama bukan saja ke lokasi di Asia Tenggara, malah ke destinasi yang lebih mahal seperti Tokyo, London atau Sydney.

Nota: Warga Malaysia juga boleh menginap di Malaysian Hall. Harga di London ialah GBP30 (~RM163.99) manakala di Sydney ialah AUD20 (~RM59.66).

3. Cari Rumah untuk Keluarga

Keluarga anda besar? Jika anda kerap melancong bersama dengan keluarga, anda juga boleh berjimat jika anda gunakan rumah tumpangan atau homestay.

Di Malaysia, gunakan Mudah.my atau CariHomestay atau www.pakejhomestay.com. Tetapi jika anda risau homestay anda berhantu, katil dipenuhi berhama atau terletak di jalan sunyi, gunakan iBilik. Berbeza dengan Mudah.my, anda boleh membaca ulasan pengunjung terdahulu dan melihat lokasinya sebelum menempah.

Ini contoh penjimatannya. Anda boleh dapatkan rumah atau apartmen penginapan untuk 10 orang di Cameron Highland dengan hanya RM 200, di Melaka dengan RM 130, atau Langkawi dengan RM 150.

Untuk homestay di luar negara, cuba guna VRBO, Rentmix atau Flipkey. Tetapi jika anda tidak kisah menerima keluarga lain di rumah anda, anda mungkin boleh mendapat rumah/homestay percuma di seluruh dunia melalui HomeExchange.

4.Dapatkan Bilik dan Makanan Percuma dengan Bekerja

Jika anda masih muda, sanggup bekerja keras untuk tempat tinggal, dan mahu merasai kehidupan warga tempatan, cuba WWOOF
 
Begini ideanya.

Anda setuju untuk membantu tuan rumah anda di ladang mereka selama 4-6 jam sehari. Sebagai imbalan, anda diberi tempat tinggal dan makan yang ditanggung tuan rumah sepanjang di negara mereka. Yang menariknya, anda boleh tinggal di negara orang jauh jauh lebih lama dari biasa. Bukannya seminggu dua, tetapi mungkin sehingga satu tahun.

Bezanya, anda perlu pastikan yang anda mendapatkan visa yang sesuai kerana anda bukan pergi semata-mata untuk melancong. Contohnya jika anda di bawah 31 tahun dan mahu me-WWOOF-ing di Australia, dapatkan Visa Kerja dan Holiday.

Walaupun bunyinya menarik, jika anda lebih kuat makan dari lembu si tuan rumah, suka mandi berjam-jam dan mahukan wifi 24 jam sehari kerana ketagihan candy crush, anda tidak sesuai di ladang. Alternatif terbaik untuk anda ialah dengan ..

5.Menerima Apa Jua Penginapan Percuma

Ya, jika anda kuat tidur dan geli memerah susu tetapi mahu penginapan percuma di Malaysia atau di seluruh dunia, jangan putus asa. Anda masih ada harapan.

Caranya agak mudah. Gunakan laman couchsurfing, globalfreeloaders atau travellers for travellers untuk mencari tuan rumah yang sudi memberikan anda bilik percuma.

Syaratnya satu. Jangan menolak jika ditawarkan untuk tidur di sofa, dalam van kecil atau di depan ruang tamu. Jika anda tidak kisah, anda bukan sahaja mendapat tempat tidur percuma, malah mungkin pemandu pelancong dan rakan baru yang boleh menunjukkan anda tempat-tempat yang jarang dijumpai pelancong luar.

Satu lagi, anda mungkin selesa tinggal bersama tuan rumah. Bukannya apa, kemungkinan besar dia juga seorang pelancong tegar seperti anda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan